TELUK INTAN - Walaupun ramai yang mengeluh dengan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini, bagi segelintir pihak terutama peniaga minuman keadaan sekarang diibaratkan seperti 'musim durian runtuh'.
Bagi peniaga minuman, cuaca panas dan kering sekarang menyebabkan permintaan terhadap jualan mereka bertambah, sekali gus meningkatkan pendapatan.
Gambar Hiasan
Seorang peniaga air batu campur (ABC) dan cendol, Mohd Ridzuan Abu Bakar, 26, berkata beliau menjual kira-kira 800 mangkuk ABC setiap hari dengan harga RM2.50 sehingga RM3 di karavan miliknya.
"Disebabkan cuaca panas, permintaan meningkat sehingga 40 peratus dan keuntungan juga berganda sejak beberapa minggu lalu," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Mohd Ridzuan berkata, beliau dan tiga lagi pembantu tidak 'menang tangan' disebabkan permintaan yang bertambah, malah terpaksa membuka meja dan kerusi tambahan untuk pelanggan.
Beliau yang sudah lebih setahun berniaga di Jalan Padang Tembak di sini, berkata walaupun berniaga pada musim panas agak meletihkan, semuanya berbaloi dengan keuntungan yang diperoleh.
Beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 7 petang setiap hari, selain menjual ABC dan cendol, karavannya turut menyediakan laksa dan mee/bihun sup.
Seorang pelanggan Hafizi Said, 26, berkata ABC dan cendol yang dijual Mohd Ridzuan mempunyai rasa yang sangat istimewa sehingga menjadi pilihan beliau dan beberapa rakan untuk 'mencuci tekak' dalam keadaan panas sekarang.
"Saya dan beberapa rakan lebih kerap mengunjungi gerai ini, terutama selepas kerja untuk menghilangkan dahaga," katanya.
Rezeki tambahan musim panas itu turut dinikmati Ismail Din Omar, 32, yang berniaga air secara sambilan berhampiran ikon bandar ini iaitu Menara Condong.
"Biasanya pada hari biasa saya hanya menggunakan dua hingga tiga beg plastik kiub ais tetapi kini ada masanya saya memerlukan sehingga tujuh beg plastik sehari," katanya yang menjual minumannya dengan harga RM1 secawan. - Bernama