AYER KEROH - Kira- kira 30 tan dedak nyaris musnah apabila sebuah treler yang membawa muatan itu terbakar di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira- kira jam 4.45 petang itu, bahagian kepala treler tersebut terbakar, bagaimanapun pemandu kenderaan berat tersebut yang berusia 24 tahun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Bahagian kepala treler yang membawa muatan 30 tan dedak terbakar.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Hairul Nizam Ridhuan berkata, sebanyak tiga jentera dan 18 anggota bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 4.57 petang.
“Tiga jentera dan sebuah ambulans EMRS termasuk dari BBP Bukit Katil dan Jalan Kubu sampai di tempat kejadian 11 minit kemudian dan melihat api marak di bahagian kepala treler berkenaan.
“Kita berjaya kawal api pada jam 5.17 petang daripada merebak ke bahagian belakang treler yang boleh memusnahkan dedak dibawa sebelum kebakaran sepenuhnya dipadamkan 10 minit kemudian,” katanya.
Hairul Nizam berkata, treler yang dalam perjalanan dari Bukit Rambai ke Muar, Johor itu difahamkan berhenti di bahu jalan selepas enjinnya tiba-tiba mati dalam keadaan sedang bergerak.
“Selepas enjin mati, lelaki itu kemudian memandu treler ke bahu jalan dalam kira-kira 30 meter tapi masa dia turun untuk periksa dapati sudah ada api di bahagian enjin dan terus hubungi bomba,” katanya. - Sinar Harian