GOPENG - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Perak mensasarkan 25,000 ahli menjelang tahun 2020, berbanding kira-kira 10,000 sekarang.
Yang Dipertuanya, Sharudin Said berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya telah mengaktifkan semula cawangan-cawangan di seluruh negeri, termasuk dua yang telah digantung oleh kepimpinan lalu.
Menurut beliau, dua cawangan itu ialah Kinta yang digantung 12 tahun dan Hilir Perak, 22 tahun.
Sharudin mendengar taklimat mengenai produk yang dipamerkan pada majlis suai kenal dan taklimat PPPKM Kinta di RTC Gopeng.
"Kinta telahpun kita aktifkan dengan pelantikan pengerusinya, manakala pengerusi Hilir Perak sedang dikenalpasti dan dijangka dilantik dalam masa satu dua bulan ini," katanya kepada Suara Perak.
Terdahulu beliau menghadiri majlis suai kenal dan taklimat PPPKM Kinta di RTC Gopeng yang turut dihadiri Pengarah FAMA Perak, Basri Jasmo, Pengarah MITI Perak, Nazrul Izwan Ismail, Pengarah SME Corp Perak, Mohd Rozlan Mohd Razali, wakil Bahagian Pengurusan Penjaja MBI, Zulfadli Zakaria dan Pengerusi PPPKM Kinta, Zahari Abd Murad.
Sharudin berharap lebih ramai penjaja dan peniaga kecil di negeri ini mendaftar sebagai ahli PPPKM bagi membolehkan pihaknya menyusun program untuk melahirkan usahawan yang berilmu dan beretika.
"Dengan cara ini juga, memudahkan kita menyalurkan pelbagai maklumat kepada penjaja, selaras dengan matlamat kerajaan negeri, tiada tertinggal, tiada terpinggir," ujar beliau.
Sementara itu, di dalam ucapannya, Sharudin menasihatkan ahli-ahli persatuan supaya jangan berbalah sesama sendiri kerana ia hanya akan merugikan mereka sendiri.
Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu bersatu bagi meningkatkan lagi taraf usahawan Melayu, seperti yang dilakukan oleh usahawan kaum lain.