SKUAD Harimau Malaysia menamatkan aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan kekalahan keenam selepas tewas 0-2 kepada pendahulu kumpulan, Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan gergasi Asia Barat itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 manakala Malaysia perlu menempuhi aksi play-off ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.
Pada aksi di Jeddah, pasukan tuan rumah kendalian Bert van Marwijk dari Belanda menguasai sebahagian besar perlawanan sehingga memaksa pemain negara 'berkampung' di halaman sendiri.
Penyerang pasukan tuan rumah, Mohammed Al Sahlawi membuka tirai jaringan pada minit ke-35 namun pengadil, Kim Dong Jin dari Korea Selatan tidak mengesahkan jaringan berkenaan selepas pemain tersebut dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Pasukan Arab Saudi terus mengancam kubu negara dengan serangan bertali arus namun berjaya diserap oleh benteng pertahanan negara dan menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, pasukan Arab Saudi kembali menggandakan asakan dan hasilnya, Al Sahlawi meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-50 selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, hasil percubaan luar kotak penalti oleh Salman Muwashar.
Kelalaian benteng pertahanan negara sekali lagi dihukum apabila Taiseer Al Jassam menggandakan kedudukan untuk Arab Saudi pada minit ke-73 selepas memanfaatkan hantaran rakan sepasukan.
Barisan serangan pasukan tuan rumah meneruskan asakan bertali arus bagi menambah jaringan namun ketangkasan Khairul Fahmi menyaksikan keputusan 2-0 itu kekal sehingga berakhirnya perlawanan.
Arab Saudi yang sudah mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2019, akan berdepan pasukan tangga kedua, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammad Bin Zayed, Abu Dhabi pada 29 Mac ini pada aksi terakhir Kumpulan A.
Barisan Pemain: ---------------- MALAYSIA:Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Fadhli Shas, Aidil Zafuan Abdul Radzak (Muhammad Shahrom Abdul Kalam), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Brendan Gan, Safiq Rahim (kapten), S. Kunanlan, Mohd Nazrin Nawi (Shahrul Mohd Saad), Baddrol Bakhtiar, Wan Zack Haikal Wan Nor (Matthew Davies), Amri Yahyah.
ARAB SAUDI:Osama Hawsawi, Khalid Sharahili, Abdulla Aldossary, Omar Ibrahim Othman, Salman Alfaraj, Yahia Alshehri, Mohammed Al Sahlawi (Mokhtar Falatah), Abdul Malek Al Kahibri, Yasir Al Shahrani, Salman Muwashar (Fahd Al Muwallad), Taiseer Al Jassam (Hussain Al Moqahwi).
Pengadil:Kim Dong Jin (Korea Selatan) - Bernama