top of page
muinsapidin

Peralihan Angin Monsun Punca Hujan, Ribut Petir

KUALA LUMPUR - Hujan dan ribut petir yang berlaku di beberapa kawasan ketika negara sedang menghadapi cuaca panas sekarang adalah disebabkan peralihan angin monsun timur laut dan barat daya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Madya Dr Ramzah Dambul berkata keadaan itu berlaku kerana pusat pertemuan angin di Kpistiwa yang dikenali sebagai 'intertropical convergent zone' telah membentuk awan dan menghasilkan hujan serta ribut petir.

"Memang fenomena El Nino dan cuaca kering dijangka berlaku sehingga Jun ini. Tetapi sekarang berlaku peralihan angin monsun timur laut berganti kepada angin monsun barat daya yang biasanya dicirikan oleh keadaan udara yang tidak stabil.

"Pada masa itu angin monsun timur laut dan barat daya mula hendak beralih seperti wujudnya pertembungan dua angin dan kedudukan Malaysia di tengah-tengah berhampiran garisan kpistiwa turut mengalami hujan serta ribut petir," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peralihan angin monsun melibatkan semua kawasan yang dijangka berlaku antara tiga hingga empat minggu sehingga proses transisi berakhir.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kejadian tidak diingini dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

"Kami bergantung kepada maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi dan sentiasa bersiap sedia untuk memberi bantuan dari segi tenaga kerja dan peralatan mengikut keadaan dan keperluan.

"Terdapat beberapa kawasan yang mengalami kejadian pokok tumbang akibat ribut petir dan masih juga berlaku kebakaran hutan akibat cuaca kering seperti di Selangor," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dalam pemanduan serta mengelak daripada menghentikan kenderaan di bawah pokok ketika berlakunya hujan lebat dan ribut petir. - Bernama


20 views0 comments
bottom of page