top of page
muinsapidin

Dua Nelayan Hilang Di Sitiawan Ditemui Maut

LUMUT - Dua nelayan di Kampung Kayan, Sitiawan di sini yang dilaporkan hilang selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan sejak semalam ditemukan mati lemas awal pagi tadi.

Mayat Mohd Ghafran Man, 41, ditemui pada 4.30 pagi berhampiran jeti Bagan Datoh, kira-kira 90 kilometer dari sini, manakala mayat Yusuf Abdul Rahim, 44, ditemui pada 9.08 pagi berhampiran kawasan Kota Setia, kira-kira 50 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata kedua-dua mayat ditemukan orang awam yang membantu operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa agensi lain.

Katanya kedua-dua lelaki tersebut keluar ke laut kira-kira 1 pagi pada Khamis dan sepatutnya pulang pada 11 pagi hari yang sama.

"Orang kampung ada memaklumkan mereka terjumpa bot mangsa pada 7 petang semalam dan mendapati bahagian kipas patah disyaki melanggar objek keras serta kehabisan petrol," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira 9.19 malam tadi.

Katanya operasi mencari dan menyelamat dilakukan seluas tiga batu nautika dari jeti Kampung Kayan dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 10.20 pagi tadi.

Operasi pencarian tersebut melibatkan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa penduduk kampung. - Bernama


6 views0 comments
bottom of page