IPOH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat kerana membenarkan pistol miliknya digunakan oleh rakannya untuk melakukan rompakan kedai emas sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Samsudin Hassan memutuskan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Mohd. Taufik Peter Abdullah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Mohd. Taufik diwakili peguambela Datuk Naran Singh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzir dan Ashvinder Kaur manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.