IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan tauliah pelantikan kepada 621 ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid bagi Daerah Kinta, Batu Gajah, Kampar, Seri Iskandar dan Manjung.
Majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.
Penerima watikah pelantikan pegawai masjid yang merupakan imam dan bilal itu adalah dari Daerah Ipoh (150), Batu Gajah (28), Kampar (38), Seri Iskandar (88) dan Manjung (110).
Seramai 207 Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dari lima daerah berkenaan turut menerima tauliah masing-masing.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan al-Quran dan terjemahan sebelum diteruskan dengan penyampaian tauliah.
Sementara itu, Drs Nizar ketika ditemui menasihatkan pengerusi, imam dan bilal yang menerima tauliah supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, termasuk melibatkan golongan muda di dalam program yang disusun.
“Masjid merupakan tempat bagi umat Islam, bukan sahaja untuk beribadah seperti solat dan sebagainya, tetapi juga sebuah institusi yang boleh membentuk perpaduan dan legasi ummah yang mempunyai nilai-nilai kehebatan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 661 buah masjid di seluruh negeri yang melibatkan hampir 10,000 komuniti, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid seperti imam, bilal dan siak.
Sehubungan itu, beliau mahu mereka mengambil serius soal pengurusan masjid seperti lanskap dan kebersihan kawasan persekitaran masjid, termasuk tandas.
“Masjid merupakan institusi yang menjadi tumpuan umat Islam, oleh itu ia perlu dijaga untuk memberi keselesaan dan jangan kita hanya menyerahkannya kepada jawatankuasa masjid atau siak,” katanya.