MANJUNG – Cubaan seorang warga Bangladesh lari dari serbuan memakan diri apabila ditemui jatuh tergolek dalam longkang berhampiran sebuah rumah di Taman Gemilang, Jalan Teluk Rubiah, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berkenaan dikesan melarikan diri melalui pintu belakang kediamannya sebaik menyedari pihak berkuasa menggempur kawasan itu.
Individu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan.
Dalam serbuan dijalankan di tiga rumah kongsi itu, terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri ke hutan, bersembunyi di dalam rumah serta memberikan alasan hanya datang melawat rakan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, seramai 109 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan daripada jumlah itu, 25 orang berusia antara 25 hingga 45 tahun, ditahan.
“Semua yang ditahan membabitkan 20 lelaki warga Bangladesh, Pakistan dan Myanmar (2) dan seorang warga Nepal.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Serbuan dijalankan 53 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama anggota Pejabat Imigresen Lumut.