IPOH – Tabung Rayuan Hari Pahlawan Negeri Perak berjaya mengutip sumbangan RM225,000 sepanjang kempen tahun 2015.
Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Samsudin Abu Hassan mengucapkan syabas kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Negeri Perak dan para penyumbang yang telah bersama-sama membantu menjayakan kempen untuk mengisi tabung berkenaan.
Beliau berharap hasil kutipan untuk tahun ini akan meningkat apabila ia dilancarkan Julai ini.
“Jika tahun lalu penyumbang menghulurkan RM5,000 diharap akan meningkat kepada RM10,000 apabila kempen dilancarkan Julai nanti,” katanya ketika berucap di majlis meraikan para penyumbang di Hotel Tower Regency Ipoh pada Khamis.
Sementara itu, Yang Dipertua PVATM Perak, Lt Kdr Jayah Said memberitahu, hasil kutipan tahun ini meningkat berbanding RM223,000 yang dikutip tahun 2014 dan 123,000 tahun 2013.
Menurut beliau, semua sumbangan yang diterima akan diserahkan kepada PVATM Pusat untuk diagih-agihkan kepada veteran ATM yang memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PVATM Perak mempunyai 26,000 ahli dengan 44 cawangan seluruh negeri dan merupakan persatuan veteran ATM terbesar di Malaysia.
Jayah berkata, setakat ini, terdapat 151 veteran tentera di Perak yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya dan terlantar, yang turut menerima bantuan daripada persatuan.
Beliau turut menyeru mana-mana veteran yang tidak berupaya atau waris, supaya tampil bagi membolehkan bantuan dihulurkan kepada mereka.