top of page
muinsapidin

Pusat Keusahawanan PDK Perak Bakal Dibina

TROLAK - Sebuah pusat keusahawanan yang menerapkan kemahiran kepada pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) bakal diwujudkan di negeri Perak.

Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, pusat itu merupakan inisiatif awal kepada pelatih PDK untuk menjana pendapatan mereka secara lebih komersial dan sistematik. Menurut beliau, cadangan pusat itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), BAIDURI dan beberapa agensi kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Terdapat 39 PDK di seluruh negeri ini dan setiap satu daripada mempunyai pengkhususan dalam kemahiran tertentu, sesuai dengan moto kita 'Satu PDK Satu Produk. "Oleh itu, saya lihat pendekatan ini merupakan permulaan bagi golongan pelatih untuk membina perniagaan mereka di samping mempelajari teknik berniaga daripada mereka yang berpengalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Semarak Budi Tautan Kasih Bersama PDK Negeri Perak di PDK Felda Trolak Selatan pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perumahan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim dan Pengarah JKM Perak, Rosmahwati Ahmad. Saripah berkata, cadangan pembinaan pusat keusahawanan itu adalah hasil daripada pandangan dan permintaan orang ramai, terutamanya yang terlibat secara langsung dengan PDK.

Menurut beliau, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana- mana agensi swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk merealisasikan cadangan tersebut. "Tambahan lagi, ia akan menjadi satu pusat integrasi yang akan memasarkan produk OKU dan pelatih PDK secara tersusun. "Kita juga masih memikirkan struktrur tepat bagi pusat itu, termasuk bahagian pemasaran dan pameran produk hasil tangan anak-anak Perak ini," ujarnya. Dalam majlis tersebut, Saripah menyerahkan kira-kira RM2.3 juta peruntukan kepada PDK seluruh negeri Perak kepada Rosmahwati.


18 views0 comments
bottom of page