Seorang wanita, Hawa Buyong, 47, yang menjadi mangsa keracunan makanan di Batu Gajah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada malam Rabu. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazali berkata pihaknya mengesahkan kejadian tersebut. Sebelum ini, seramai 37 orang termasuk 4 yang dalam keadaan kritikal telah dimasukkan ke Hospital Batu Gajah pada 5 Mac lepas setelah disyaki mengalami keracunan makanan sarapan yang tercemar dengan bahan kimia.
Terdapat spekulasi bahawa keracunan makanan itu adalah disebabkan kecuaian pengurusan pengusaha makanan atau melibatkan unsur mencurigakan. Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan tiada sebarang aktiviti jenayah dilaporkan berkait dengan insiden gempar yang berlaku pada awal Mac tersebut. Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohd Nasri Omar berkata pihaknya telah memanggil kesemua pengusaha makanan untuk menjalankan siasatan berkenaan hal tersebut.
Datuk Dr Mah Hang Soon mengucapkan takziah kepada salah seorang anggota keluarga Allahyarhamah Hawa Buyong
"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang melibatkan pihak ketiga atau apa-apa perlakuan yang berunsur atas kepentingan sendiri "Kertas siasatan juga telah dihantar ke bahagian perundangan Ibu Pejabat Kontinjen Perak untuk mendapat arahan selanjutnya,"katanya ketika dihubungi Suara Perak. Katanya, kesemua prosedur akan dilakukan bagi meneliti hal berkenaan sebelum pihaknya menutup kertas siasatan.