Pasukan dari Malaysia akan dihantar ke Afrika Selatan sebaik serpihan pesawat yang ditemui di persisir pantai berdekatan bandar Mosselbay baru-baru ini berada di bawah jagaan pihak berkuasa negara itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebaik ianya diterima oleh Jabatan Penguatkuasa Penerbangan Awam Afrika Selatan (CAA), pasukan dari Malaysia akan mengambil serpihan itu dan menghantarnya ke Australia untuk dikaji bagi mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370.
“Serpihan itu telah dijumpai oleh individu dan ianya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Kita telah pun menghubungi Afrika Selatan dan sebaik sahaja ianya telah diterima oleh mereka, kita akan menghantar orang ke sana,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Rabu.
Katanya, Malaysia juga akan mengadakan perbincangan bersama Afrika Selatan bagi memohon kebenaran untuk melakukan pencarian di sepanjang persisiran pantai negara itu bagi mencari lebih banyak serpihan.
Mengenai dua serpihan yang sedang dikaji di Australia pula, beliau memberitahu, Malaysia dan Australia akan mengadakan kenyataan bersama sebaik sahaja keputusan analisis lengkap diperolehi.
“Kita ketika ini telah pun ada dua serpihan di Australia yang sedang dikaji, kita telah mulakan kajian sejak Isnin lalu melibatkan tujuh negara.
“Kita akan biarkan pasukan pakar yang berada di situ melakukan kajian, sebaik sahaja menerima keputusan, satu kenyataan bersama Australia akan dibuat,” ujarnya lagi.