top of page
muinsapidin

Projek Tambak Teluk Muroh Tidak Jejas Ekologi Laut

Projek penambakan laut melibatkan kawasan seluas 44 ekar sepanjang tiga kilometer di persisir Teluk Muroh, Lumut dilakukan mengikut prosedur sewajarnya termasuk melalui kajian hidrologi yang mana terbukti tidak memberi impak negatif kepada ekologi pantai di kawasan itu. Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanif berkata kerja-kerja penambakan laut yang akan bermula April ini telah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan selepas menjalani prosedur yang ditetapkan. Menurut beliau, walaupun projek itu tidak diwajibkan menjalani penilaian kesan alam sekitar (EIA) kerana melibatkan projek tidak lebih 50 ekar, kajian hidrologi dijalankan secara prosedur alternatif bagi memastikan ia tidak menjejaskan ekologi kawasan berkenaan.

“Projek tambak laut dilaksanakan setelah mendapat kelulusan selain hasil kajian hidrologi menunjukkan ia tidak mendatangkan kesan tidak baik kepada ekologi laut di situ. "Kerja-kerja tambakan ini ini juga tidak melanggar Seksyen 44 Akta Kanun Tanah Negara mahupun Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan kerana kawasan yang ditambak langsung tidak melibatkan tanah persendirian,” katanya. Diminta mengulas pelaksanaan projek berkenaan, Mohd Faris berkata, projek tambak laut itu antara lain bertujuan menyelesaikan isu setinggan melibatkan keluarga nelayan sekitar kawasan Teluk Muroh. Katanya tiga penempatan setinggan telah dikenalpasti bagi tujuan penempatan semula ini melibatkan perkampungan nelayan Padang Tembak, Kampung Kelantan dan beberapa keluarga yang tinggal bersebelahan pengkalan TLDM. “Bancian terhadap jumlah sebenar keluarga setinggan yang akan terlibat untuk penempatan semula masih dijalankan. Selepas jumlah ini dikenalpasti, satu lagi bancian melibatkan generasi kedua nelayan akan dilakukan kerana kita dapati ramai keluarga setinggan ini mempunyai anak yang berkahwin tinggal bersama mereka,” katanya. Jelasnya lagi Pejabat Daerah memilih untuk melaksanakan tambakan berbanding langkah penempatan semula secara insitu berikutan kaedah pengambilan tanah melibatkan kos yang terlalu tinggi. “Kita telah membuat penilaian dan dengan harga tanah semasa kos bagi pengambilan tanah Kampung Padang Tembak Teluk Muroh menelan belanja sebanyak RM37 juta.

“Berikutan kosnya yang terlalu tinggi, kita mengambil keputusan membuat tambakan laut yang mana kosnya lebih rendah,” katanya.. Katannya lagi pendekatan tambakan laut itu juga dibuat berikutan tiada tanah kerajaan yang berkeluasan besar bagi tujuan penempatan semula selain nelayan mahukan penempatan berdekatan pantai bagi memudahkan mereka ke laut. Menurut Mohd Faris Pejabat Daerah Manjung memulakan usaha membuat penempatan semula sejak 2009 lagi setelah nelayan di Kampung Padang Tembak membawa permasalahan kepada ADUN Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir “Keluarga nelayan ini telah berjumpa Datuk Seri (Dr Zambry) setelah menerima surat pengosongan tanah daripada tuan tanah masing-masing. Sebagai wakil rakyat beliau telah meminta Pejabat Daerah melihat masalah ini. Kami juga telah berunding dengan peguam tuan tanah untuk memberi tempoh lanjutan sementara kita mencari langkah mendapatkan kawasan baru buat setinggan terbabit,” katanya. Beliau menegaskan, projek tambakan laut ini merupakan projek rakyat yang dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran dan bukan satu projek swasta untuk tujuan komersial. Projek tambak laut ini akan dijalankan dalam tiga fasa bermula April. Fasa pertama melibatkan pembinaan kemudahan seperti jeti terapung, laluan bot dan stor menyimpan dijangka siap 2017 manakala kerja pembinaan bagi unit-unit kediaman akan bermula pada pertengahan 2017. Pada fasa ketiga, kawasan itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas lain termasuk rekreasi dan riadah dan kedai bagi menjadikan ia kawasan tarikan pelancong untuk menjana ekonomi penduduk setempat.


52 views0 comments
bottom of page