top of page
muinsapidin

Nelayan Nafi Tambak Laut Teluk Muroh Jejas Sumber Rezeki

LUMUT - Nelayan di Kampung Padang Tembak di sini menafikan dakwaan kononnya projek tambakan laut Teluk Muroh bagi tujuan penempatan semula setinggan akan menyebabkan sumber mata pencarian mereka terjejas. Sebaliknya, rata-rata mereka berpendapat, projek tambakan laut Teluk Muroh itu sememangnya dinanti-nantikan kerana akan memberi manfaat langsung kepada nelayan dalam jangka panjang.

Malah, kata mereka, penempatan semula itu akan memberi peluang kepada nelayan untuk memiliki rumah sendiri setelah sekian lama menjadi setinggan.

Sebelum ini, wujud desakan daripada pihak tertentu yang mahu projek tersebut dihentikan dengan alasan ia bakal memberi impak kepada ekosistem sehingga menjejaskan sumber rezeki nelayan.

Nelayan berharap projek tambakan bagi penempatan semula setinggan Teluk Muroh dapat menyelesaikan

masalah kawasan pesisiran cetek yang sering memaksa mereka berjalan jauh menolak bot untuk ke laut.

Seorang nelayan, Mat Juno Mat Sidek, 66, projek tambakan itu mendapat penerimaan baik dalam kalangan nelayan di situ kerana ia bakal memberi jalan keluar kepada beberapa isu besar yang membelenggu penduduk selama ini. Beliau yang sudah 30 tahun menetap di kampung tersebut berkata, pelaksanaan projek berkenaan mampu menyelesaikan beberapa isu yang menghantui penduduk setempat seperti ketiadaan kemudahan laluan bot, jeti berlabuh serta kes kecurian peralatan nelayan dapat ditangani.

Mat Juno Mat Sidek

"Kami ini anak laut, periuk nasi kami ditentukan faktor pasang surut air. Oleh kerana persisiran ini cetek, kami terpaksa tolak bot agak jauh. Disebabkan itu, kemudahan laluan yang akan dibina amat penting buat kami. "Kes kecurian enjin dan peralatan lain juga sering berlaku. Jika ikut perancangan, semua masalah ini akan diatasi dengan projek tambakan laut itu terlaksana kelak. Sudah tentu kami sokong sebab ia bakal memudahkan hidup nelayan di sini,” katanya. Mat Juno berkata projek itu juga bakal memberi satu sinar baru kepada nelayan kerana mereka bakal mempunyai rumah sendiri tanpa perlu bimbang dihalau keluar tuan tanah. “Sekarang ini ada kalangan kami tak dapat tidur lena sebab bimbang dihalau. Macam saya ini kurang sikit sebab status tanah rumah saya adalah rezab wakaf, tetapi bagaimana (nelayan) yang lain,” soalnya. Projek tambak laut itu merupakan inisiatif kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor yang mahu masalah penempatan setinggan melibatkan nelayan di kawasan berkenaan diselesaikan. Langkah menambak laut itu dibuat setelah mengambil kira ketiadaan tanah kerajaan sekitar Lumut yang masih kosong untuk dijadikan penempatan semula selain permintaan nelayan sendiri yang mahu tinggal di kawasan persisiran pantai bagi memudahkan mereka ke laut mencari rezeki. Seorang lagi penduduk Jaffan Agio,50, turut menarik nafas lega berikutan tapak rumahnya juga merupakan milik persendirian. “Saya warisi rumah ini daripada arwah ayah. Ayah saya bina rumah ini 50 tahun dulu dengan menyewa tapak daripada seorang ceti. Saya sedar saya dan keluarga tidak selamat kerana boleh dihalau keluar bila-bila masa.

Jaffan Agio

“Sebab itu saya amat menyokong projek tambak laut ini. Saya amat bersyukur kerana wakil rakyat kami (Dr Zambry) seorang yang memahami masalah kami. Mungkin sebab dia juga berasal dari keluarga nelayan,” katanya yang juga bapa kepada tujuh anak. Jaffan yang mula menceburi aktiviti menangkap ikan sebagai punca rezeki sejak 10 tahun lalu setelah bersara daripada tentera, berharap kerja-kerja penambakan dapat berjalan lancar mengikut jadual. “Kita berharap sangat tidak ada pihak yang cuba melengah-lengahkan dengan isu remeh temeh. Kita sendiri tidak pasti apa sebenar objektif mereka tetapi saya meminta mereka tidak sewenang-wenangnya membuat tohmahan tidak berasas dan mendakwa (bantahan) itu suara kami (nelayan,” katanya. Nelayan Janardin Osman, 52, pula mengecam tindakan pihak yang mendakwa sebagai aktivitis alam sekitar, tetapi menyebarkan fitnah dengan fakta tidak berasas berhubung projek berkenaan. “Mereka mewujudkan akaun-akaun Facebook untuk menentang penempatan semula ini, itu saya tidak kisah, tetapi mengapa mesti buat fitnah? Mereka muat turun gambar tangkapan kepah dan remis yang kononnya akan pupus seterusnya jejaskan sumber rezeki nelayan. "Saya menangkap ikan sudah berpuluh tahun lamanya, sejak muda lagi di kawasan ini. Kepah tidak banyak di sini, jadi ia bukan punca utama nelayan di Teluk Muroh. Remis pula sukar dijumpai di sini. Bagaimana boleh mereka guna gambar-gambar itu,” katanya.

Janardin Osman

Janardin berkata nelayan Teluk Muroh tidak menangkap ikan di kawasan tambakan itu tetapi perlu ke laut lepas seperti Temorak, Pulau Sembilan dan Pulau Jarak untuk mendapatkan hasil tangkapan baik.

Difahamkan, kerja-kerja tambakan laut itu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri berjalan dalam tiga fasa bermula April ini dan dijangka siap sepenuhnya 2018.

Fasa pertama yang melibatkan pembinaan kemudahan seperti jeti terapung, laluan bot dan stor menyimpan dijangka siap 2017 manakala unit-unit kediaman akan bermula pada pertengahan 2017.

Pada fasa ketiga, kawasan itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas lain termasuk rekreasi dan riadah dan kedai bagi menjadikan ia kawasan tarikan pelancong.


56 views0 comments
bottom of page