Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kinta berjaya membuat tahanan paling ramai tahun ini selepas menahan 70 individu kerana didapati positif dadah di sekitar Tambun.
Ketua Pegawai Penguatkuasa AADK Kinta, Mohamed Zaharen Ibrahim berkata, mereka yang ditahan dalam Ops Perdana itu terdiri daripada 67 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 dan 70 tahun.
Menurut beliau, tangkapan itu adalah hasil risikan sejak dua minggu lalu oleh pihaknya dan kawasan yang menjadi tumpuan ialah di Kampung Rizab Melayu, Tambun.
“Kita mendapati jumlah yang ditahan di luar jangkaan, kali ini ialah perancangan terbaik yang kita pernah lakukan.
“Dari segi cabaran operasi tadi, biasalah penagih dadah ini ada yang membawa senjata dan ada juga yang merempuh sekatan yang kita buat, tapi alhamdulillah tiada anggota kami yang cedera,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Ipoh pada Rabu.
Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Pindaan 199) dan akan dihantar ke Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) bagi menjalani rawatan pemulihan.