Bekalan air untuk rakyat di Perak masih mencukupi dan tidak membimbangkan meskipun negara dilanda fenomena El Nino ketika ini,
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, berdasarkan kepada status terkini, kawasan tadahan dan empangan di Perak masih berupaya menampung keperluan bekalan air kepada penduduk di negeri ini.
Menurut beliau, pemantauan sudah dilakukan oleh Lembaga Air Perak (LAP) dan setakat ini hanya Loji Rawatan Air (LRA) Taiping Heaworks yang terkesan.
“Masalah kekurangan air di loji rawatan air di Taiping akan ditampung oleh LRA Gunung Semanggol dan LRA Air Terjun,” katanya pada siding media selepas mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau berkata, pada tahun lalu LAP telah menyiapkan projek saliran Semanggol (2) yang boleh menampung lebih 20 juta air untuk disalurkan di kawasan Kamunting dan Taiping.
Mengenai keadaan empangan di negeri ini, Zainol memberitahu, LAP menguruskan dua buah empangan utama iaitu Empangan Air Kuning Taiping dan Empangan Sultan Azlan Shah di Hulu Kinta.
Beliau berkata, Empangan Air Kuning berkapasiti 1.9 juta cubic meter air dan Empangan Sultan Azlan Shah berkapasiti 30 juta cubic meter untuk memberi sumbangan kepada bekalan air di Perak.
Menurutnya, Empangan Air Kuning telah menurun ke aras 38.78 meter iaitu penurunan sebanyak 3.74 meter daripada aras maksimum 42.5 meter, namun masih terkawal.
Menurut beliau, setakat ini masih terdapat simpanan hampir 100 peratus di Empangan Sultan Azlan dan secara keseluruhan ia mampu bertahan sehingga 63 hari sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan.
Selain itu, katanya, terdapat juga sungai-sungai dilaporkan berlaku penurunan tetapi tidak terlalu drastik dan masih belum mencapai tahap kritikal.