KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Farmasi dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada pihak Peguam Negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata RUU itu antara lain bertujuan membolehkan kawalan terhadap harga ubat.
"Selepas pindaan ini dilakukan, kerajaan akan mendapat kuasa untuk kawal ubat-ubatan yang dijual di dalam negara ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin. Beliau berkata melalui rang undang-undang baharu itu, usaha kerajaan untuk mengawal kos perubatan yang dikenakan oleh sektor swasta dapat dijalankan. Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata sehingga tahun lepas, sebanyak 105 klinik desa telah dinaik taraf menjadi klinik kesihatan luar bandar dari segi peningkatan penyelenggaraan dan bekalan peralatan.
"Secara keseluruhan terdapat 589 klinik kesihatan yang terletak di luar bandar dengan 436 atau 74 peratus daripadanya telah dilengkapi dengan pegawai perubatan perkhidmatan makmal dan farmasi," katanya.