IPOH - Seorang pemungut barangan lusuh lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana didakwa membunuh seorang lelaki di sebuah rumah di Gunung Rapat, di sini pada Februari lalu.
Tertuduh, Tan Kok Yew, 33, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dialek Kantonis di hadapan Hakim Murtazadi Amran, di sini, tadi.
Dia dituduh menyebabkan kematian Chiong Weng Kheong, 37, di hadapan sebuah rumah beralamat No.46, Lebuh Rapat Baru, 16B Taman Lapangan Indah, di sini, pada jam 8 malam, 29 Februari lalu.
Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan yang menyebabkan kematian.
Murtazadi menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan pelantikan peguam.
Pendakwaan dilakukan Mohamad Suffian Ja'afar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.