Analisis secara objektif wajib dilakukan tentang implikasi kehadiran tenaga kerja asing yang begitu besar ke negara ini sehingga boleh menjejaskan struktur sosial, budaya, demografi dan struktur politik negara. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pendirian terkini Kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukkan tenaga kerja asing amat tepat pada masanya. Menurut baginda, negara hendaklah bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baru dalam sektor pembuatan dan kelulusan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.
"Pelaburan terutamanya pelaburan asing di negara ini hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan Negara dan pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka ruang kerja kepada warga tempatan,’’ titah baginda. Sultan Nazrin bertitah demikian semasa merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di Kamunting pada Selasa. Hadir sama Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Anak Jaem. Menurut baginda, penggunaan tenaga kerja asing dengan bilangan yang semakin meningkat adalah perkara yang wajib diberikan perhatian. Baginda bertitah, warga sewajibnya membantu dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan situasi apabila Negara sudah mula terlalu bergantung pada tenaga kerja asing. Baginda menarik perhatian data Kementerian Dalam Negeri yang menunjukkan pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada tahun 2014 kepada 2.135 juta orang pada tahun 2015. Menurut baginda, lebih daripada 745,000 pekerja asing iaitu 35 peratus bekerja dalam sektor pembuatan, 450,000 orang ( 21 peratus ) dalam sektor pembinaan, 301,000 orang (14 peratus) sektor perladangan, 197,000 orang (9 peratus) sektor pertanian, 293,000 (14 peratus) sektor perkhidmatan dan 149,000 orang (7 peratus) pembantu rumah. Baginda bertitah, syarat-syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tanaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan Negara terpaksa pada suatu hari nanti menanggung kos yang tinggi. Menurut Sultan Nazrin, para majukan tidak seharusnya terlalu cepat bersifat putus asa dengan melabelkan secara umum bahawa tenaga kerja tempatan tidak mahu melakukan kerja-kerja kotor, bahaya dan merendahkan martabat. ``Walaupun tanggapan para majikan memiliki asas tertentu, namun pada masa yang sama tanggapan tersebut perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih komprehensif. ``Tanggapan tersebut turut melibatkan elemen-elemen nilai, sikap dan persepsi disamping pakej imbuhan yang menarik,’’ titah Sultan Nazrin. - Suara Perak