top of page
muinsapidin

Amanah Cabar PAS Perak Nyata Pendirian Tentang Hudud

Pemuda AMANAH Perak menggesa Pesuruhjaya PAS negeri ini, Razman Zakaria menyatakan pendirian terkini beliau secara terbuka mengenai perlaksanaan hukum hudud jika parti itu mentadbir Perak pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Fitri Asmuni (gambar) berkata, pendirian Razman perlu diketahui umum supaya isu hudud tidak lagi dijadikan gula-gula politik PAS Perak.

Menurut beliau, sebelum ini Razman merupakan antara figura PAS yang cukup kuat mempertahankan agenda perlaksanaan hukum itu dan merupakan antara Pesuruhjaya negeri yang serius ke arah pelaksanaannya.

“Ketika sidang media pembentukkan Blok Ketiga antara PAS dan IKATAN yang lepas, ketika ditanya mengenai agenda perlaksanaan hudud, Presiden PAS menjawab bahawa PAS akan lebih menumpukan kepada agenda umum iaitu memperkasakan Perlembagaan sedia ada.

“Maka ketika ini kami cabar PAS Perak nyatakan pendirian terkini mereka berhubung perlaksanaan hudud jika Pas Perak ditakdirkan memerintah negeri ini,” katanya pada sidang media khas di Wisma Amanah, Ipoh pada Selasa.

Tambah beliau, sekiranya pendirian Razman senada dengan pendirian terkini PAS pusat, maka Razman juga perlu mengeluarkan permohonan maaf kepada sebahagian pimpinan parti AMANAH yang dahulu didakwanya sebagai “barua” DAP dan golongan menolak hudud.

“Jika selari, Razman didesak mengeluarkan permohonan maaf kepada sebahagian pimpinan parti Amanah Perak yang pernah dahulu dilabel sebagai pihak menolak perlaksanaan hudud,” ujarnya.

Mohd Fitri ketika ditanya mengenai pendirian AMANAH sendiri mengenai perlaksanaan hudud di negeri ini bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.


6 views0 comments
bottom of page