KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 10 dan 11 Mei ini untuk perbicaraan kes penyanyi rock, Awie yang didakwa mencederakan bekas isterinya di kaunter PNB Jalan Tun Razak, dua tahun lepas. Majistret Husna Dzulkifly menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan sementara menunggu keputusan representasi.
Penyanyi rock tanah air, Ahmad Azhar Othman atau Awie hadir di Mahkamah Majistret Ampang
bagi perbicaraan kes beliau mencederakan isterinya Rozana, baru-baru ini. - Gambar Bernama
Terdahulu peguam Hazman Harun yang mewakili vokalis kumpulan Wings atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, memaklumkan pihaknya telah menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mac lepas, bagaimanapun keputusan masih belum diperolehi. Mahkamah juga menetapkan 14 April ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui keputusan representasi itu. Pada 15 Feb lepas, Awie yang juga bapa kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie.