top of page
muinsapidin

Jakim Nafi Produk 'Halal' Sebenarnya Tidak Halal

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan penyebaran maklumat palsu yang mendakwa produk yang bercop halal sebenarnya tidak halal.

Bahagian Hab Halal Jakim melalui Facebook rasminya memberitahu proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan.

“Pegawai pemeriksa yang ditugaskan bukan sahaja membuat pemeriksaan dokumen malah membuat pemeriksaan pematuhan berdasarkan Standard dan Prosedur SPHM di kawasan kilang yang mengeluarkan produk. Ini bagi memastikan apa jua pengisytiharan yang dibuat dipatuhi,” katanya.

Jakim memuat naik dua keping gambar paparan skrin y mengandungi tulisan yang mendakwa bahawa tidak semua produk bercop halal itu halal.

Dalam kenyataan sama, Jakim menjelaskan syarikat pengeluar perlu mewujudkan Sistem Jaminan Halal serta menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang dianggotai oleh seorang Eksekutif Halal bagi memantau perolehan bahan mentah dan proses pengeluaran produk.

“Ini bagi memastikan produk tersebut terjamin dari segi aspek kehalalan dan juga jaminan kualiti serta kebersihan 'halalan toyyiban'.

“Setiap Badan Pensijilan Halal luar negara yang diberi pengiktirafan perlu melalui prosedur yang ditetapkan. Antaranya, Badan Pensijilan tersebut mestilah dimiliki dan dianggotai oleh orang Islam.

Pegawai Syariah Jakim akan menjalankan pengauditan ke atas organisasi tersebut sebelum diberi pengiktirafan,” katanya.

Dalam pada itu, Jakim menasihatkan agar masyarakat Islam lebih bijak dan peka apabila menerima sesuatu maklumat.

“Jangan mempercayai maklumat yang tidak disahkan, serta perlu menyelidiki terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.


8 views0 comments
bottom of page