top of page
muinsapidin

Dana RM5.2 Juta Tambah Populasi Harimau ‎Hutan Belum

Usaha menyelamat dan menambah bilangan populasi harimau di Hutan Belum-Temengor, Hulu Perak terus dipergiatkan apabila Yayasan Maybank menyumbang sebanyak RM5.2 juta menerusi kerjasama dengan Yayasan Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia). Bagi merealisasikan matlamat itu, satu majlis menandatangani perjanjian kerjasama untuk mengukuhkan pemuliharaan harimau di kawasan Hutan Belum-Temengor telah diadakan di Kompleks Rainforest Resort, Pulau Banding, Gerik dengan disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir. Maybank diwakili Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang juga Pengerusi Yayasan Maybank manakala WWF-Malaysia oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Dr Dionysius S.K Sharma. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Jimin, Yayasan Maybank telahpun menyumbang RM1.2 juta setahun iaitu pada Januari tahun ini dan akan meneruskan sumbangannya untuk tempoh empat tahun lagi.‎ "Yayasan Maybank bukan merupakan yayasan untuk kebajikan tetapi mahu menumpukan peranan dan tanggungjawabnya terhadap usaha mengukuhkan pemuliharaan harimau di Hutan Belum-Temengor. "Untuk ini kita mengadakan kerjasama dengan WWF-Malaysia yang bertanggungjawab dalam segala aspek berkaitan pemuliharaan harimau di Hutan Belum-Temengor,’’ katanya dalam satu sidang media selepas majlis itu. Shahril berkata, menerusi jalinan kerjasama yang mendapat sokongan kerajaan negeri Perak ini, ia bukan sahaja memberi manfaat besar kepada matlamat memperkukuhkan pemuliharaan dan menambah populasi harimau malah memberi pendidikan kepada kakitangan Maybank untuk serta bersama WWF-Malaysia dalam program pemuliharaan harimau di kawasan hutan berkenaan. Dato’ Dr Dionysdius S.K Sharma pula berkata, beliau penuh yakin jalinan kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Maybank akan dapat menambah bilangan populasi harimau yang terdapat di Hutan Belum-Temengor. Katanya, ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 ekor harimau di kawasan Hutan Belum-Temengor dan menerusi jalinan kerjasama mantap ini akan dapat menambah bilangan harimau di hutan berkenaan iaitu lebih 40 ekor menjelang tahun 2020.

"Sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Maybank menerusi program pemuliharaan harimau ini termasuk kajian hidupan harimau, sumber makanan dan ancaman yang dihadapi daripada pemburu haram sehingga menyebabkan populari harimau di hutan berkenaan semakin pupus,’’ katanya. Sementara itu Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri, Noor Asmah Mohd Nawawi pula berkata, pihak perbadanan menyambut baik dan menyokong usaha mengukuhkan pemuliharaan harimau menerusi jalinan kerjasama Yayasan Maybank dan Yayasan WWF-Malaysia kerana ia dapat mengelak kepupusan harimau di Hutan Belum-Temengor. Katanya, pihak perbadanan juga akan memperhebatkan gerakan penguatkuasaan dalam mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemburu haram menerusi jalinan kerjasama dengan pihak Jabatan Perhilitan, Jabatan Hutan dan WWF-Malaysia.


5 views0 comments
bottom of page