BAGAN DATOH - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan supaya mencontohi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang telah mencipta kejayaan dalam pengurusan moden dan penjimatan kos.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pendekatan PNB menanggung tambahan beban kerja dengan tidak mengambil pekerja baharu perlu dicontohi oleh GLC kerana melakukan penjimatan dalam pengurusannya.
Beliau berkata, pengurusan PNB begitu komited dalam pengurusan moden dimana mereka belajar di dalam suasana yang cukup professional.
``PNB dan syarikat-syarikat kumpulannya melaksanakan pengurusan kerja yang cukup professional, termasuk tidak menambah bilangan tenaga kerja walaupun perniagaan dan pelaburan mereka meningkat.
``Tidak ada tangan kotor dan campur tangan luar di dalam pengurusan PNB sehingga menjadikannya sebuah organisasi yang paling berjaya di negara ini,’’ katanya semasa berucap menyempurnakan Program Bersama Kumpulan PNB di Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden dan juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Ahmad Zahid dalam ucapannya turut mengimbau kembali pengalamannya semasa mula bertugas dengan PNB pada 1 Julai 1977 dan meninggalkan organisasi itu pada 30 Jun 1984.
``Kerana PNB mengutamakan ketepatan masa maka dengan itu saya memilih untuk bekerja dengan PNB," katanya.
Menurut beliau, PNB telah banyak mengajarnya tentang pengurusan moden dan pengalaman itu diambilnya sebagai panduan dalam menjalani kehidupan hari ini.