WAKIL Liga Super, Perak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur di Stadium Perak malam tadi.
Perak menguasai perlawanan menerusi beberapa serangan membahayakan dari sayap kiri dan kanan sepanjang 45 minit pertama. Namun, wakil Liga Super itu tidak perlu menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan seawal minit ke-6.
Pertahanan Thiago Junio menanduk hantaran sepakan penjuru Nazirul Che Naim ke arah gawang Badrulzaman Halim. Secara tidak sengaja, penjaga gol KL itu hanya mampu menepis percubaan itu ke pertahanannya Helmi Remeli yang tidak dapat mengawal bola daripada melepasi garisan gol sendiri. Enggan tersentak, sedikit kelekaan pemain Perak memberi ruang kepada pemain tengah KL, Modibo Konte untuk melakukan satu percubaan jarak jauh pada minit ke-15. Mujur ada Hafizul Hakim yang berjaya menyelamatkan bola buat The Bos Gaurus. Bagaimanapun, Perak meneruskan pemburuan gol kedua yang dimulakan dengan pergerakan baik bek-kanan Amirul Azhan namun penyudah Vokhid Shodiev gagal menepati sasarannya. Satu peluang yang pasti mengecewakan pengendali Perak, Syamsul Saad ketika hantaran baik Nazirul dari sayap kiri menciptakan peluang emas buat Vokhid pada minit ke-40. Malangnya, penyerang kelahiran Uzbekistan itu membazir peluang yang dihidangkan di hadapan pintu gol KL dan satu lagi peluang sebelum tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Modibo Konte nyata pemain terbaik KL setakat ini dan sepakan percumanya dari luar kotak penalti menguji ketangkasan Hafizul dengan hebat, Beberapa minit kemudian, pemain dari Mali itu mempamerkan tenaga yang baik untuk menghentikan serangan bertali arus Perak dengan satu asakan dalam kotak penalti yang tidak membawa apa-apa keputusan daripada pengadil. Pada minit ke-65, lorongan dari pemain tengah membantu Vokhid melepasi pertahanan KL dan meluru ke arah pintu gol. Tampak kurang keyakinan ketika berdepan penjaga gol pasukan pelawat, Vokhid seolah-olahnya hilang kawalan bola pada saat akhir dan sepakannya hanya menemui muka Badrulzaman. Kekasaran itu memaksa pengadil melayangkan kad kuning dengan segera. Anak buah Ismail Zakaria hampir menyamai kedudukan perlawanan ketika hantaran Zaiful Abdul Hakim ditemui Anselmo da Silva namun tandukannya berjaya diselamatkan oleh Hafizul Hakim pada minit ke-68. Keputusan perlawanan kekal 1-0 sehingga wisel penamat buat anak buah Syamsul Saad yang memperoleh bekalan yang positif menjelang aksi timbal balik menentang Kuala Lumpur. No.19 bawa tuah kepada Lucero Sepakan penalti yang disempurnakan pemain No.19, Juan Lucero pada minit ke-19 menyaksikan Johor Darul Ta'zim catat kemenangan 0-1 ke atas PDRM dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA. Kini, tugas menjadi lebih sukar buat PDRM yang perlu cipta kejutan di Stadium Larkin jika mahu mara ke peringkat seterusnya. Keputusan itu merupakan kemenangan ke-10 dalam 10 perlawanan menentang pasukan The Cops sekali gus menggariskan posisi JDT sebagai pasukan pilihan Piala FA 2016. PKNS dalam kelas tersendiri Sime Darby mengotakan janji iaitu 'kunci' pemain sandaran PKNS FC, Gabriel Guerra namun pasukan Semut Merah tetap memperolehi bekalan yang amat selesa ketika mencatat kemenangan 0-4 di Stadium Selayang. Penyerang import Matias Hadwa meletakkan PKNS di hadapan hasil kelam kabut dalam kotak penalti Sime Darby. Keadaan bertambah rumit buat Sime Darby apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain ketika Mateo Roskan dilayangkan kad merah kerana mengasari Gonzalo Soto separuh masa kedua. Kira-kira dua minit kemudian, Juan Cobelli meledakkan gol pertamanya sebelum menewaskan penjaga gol Sime Darby buat kali kedua setelah menerima umpanan dari Matias Hadwa. Mohd Nazrin memastikan kemenangan besar berpihak PKNS apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-84.