top of page
muinsapidin

Angkasa Bakal Usulkan Akta Pencemaran Cahaya

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) kini sedang menyiapkan kertas kerja pelaksanaan Akta Pencemaran Cahaya, iaitu sebuah akta yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju. Ketua Pengarahnya, Dr Noordin Ahmad berkata akta tersebut bukan hanya melibatkan orang awam malah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menangani peningkatan suhu Bumi.

"Sebab akta pencemaran lain sudah ada, Akta Pencemaran Cahaya ini belum ada lagi. Jadi kita (Angkasa) sedang berusaha (mengusulkan akta tersebut) kerana perkara ini bukanlah perkara baru di negara-negara maju. "Kita harap pada masa hadapan, kita dapat menerangkan kepada orang awam dan pada masa sama juga cuba menggunakan Earth Hour (untuk menjelaskan) betapa pentingnya kewujudan Akta Pencemaran Cahaya ini," katanya kepada media pada majlis A Night @ Planetarium di Planetarium Negara pada Sabtu. Mengulas berkenaan garis panduan yang akan terkandung dalam akta tersebut, Noordin berkata ia memfokuskan kepada pelaksanaan pencahayaan premis dan bangunan yang dikawal selia PBT. "Istilah cahaya ini bukan lampu sahaja, tetapi dari segi kepanasan dan sebagainya. "Kita letak garis panduan supaya pelaksanaan dari segi pencemaran cahaya sama ada cahaya yang dibenarkan (dan) didongak ke atas terutamanya. "Peningkatan suhu melibatkan banyak aspek. Bukan sahaja oleh cahaya yang kita pasang, tetapi juga aktiviti lain," katanya.

Bagaimanapun, Noordin tidak menyatakan tempoh kertas kerja tersebut akan disiapkan dan dibentangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Antara negara yang telah melaksanakan Akta Pencemaran Cahaya adalah di Australia, New Zealand dan beberapa negara di Eropah.


31 views0 comments
bottom of page