IPOH - Pemandu teksi di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini mendapat berita gembira apabila bakal mendapat satu set (empat) tayar percuma.
Berita gembira itu diumumkan Penasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Tan Sri M Kayveas yang juga Presiden MyPPP.
Beliau mengumumkan pemberian itu ketika majlis ramah mesra dengan ahli-ahli Persatuan Pemandu Teksi KTMB Ipoh di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan ringkasnya, Kayveas berkata, beliau amat memahami keperitan hidup yang dialami oleh golongan pemandu teksi, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.
Tambahan pula, kata beliau, kewujudan pelbagai perkhidmatan baharu, seperti Uber, juga menambahkan lagi cabaran kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap pemandu teksi dapat meningkatkan lagi tahap perkhidmatan mereka di samping menjaga disiplin.
"Sekarang ini, dengan adanya pelbagai kemudahan canggih, pemandu teksi mesti meningkatkan perkhidmatan, tingkatkan disiplin," katanya sambil menambah, jika tidak berbuat demikian, mereka akan ketinggalan.
Di majlis itu, Kayveas turut menyampaikan bantuan kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi meringankan lagi perbelanjaan keperluan dapur pemandu teksi.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi KTMB Ipoh, R. Gurunathan berkata, setakat ini terdapat 27 pemandu teksi yang berdaftar dengan persatuan.
Sambil mengucapkan terima kasih di atas sumbangan itu, beliau berkata, ia sangat membantu mengurangkan beban kewangan pemandu teksi.