IPOH - MyPPP bersedia melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pedamar di Teluk Intan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke - 13 (PRU-13) lalu.
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas berkata, beliau pernah berbincang dengan pemimpin tertinggi MCA dan Gerakan mengenai kemungkinan itu.
Menurut beliau, MyPPP tidak ada masalah untuk melepaskan kerusi itu kepada samada Gerakan atau MCA sekiranya mereka merasakan boleh menang pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya tidak ada masalah, MyPPP kita tidak ada masalah, kalau kita boleh bincang, dia nak ambil dia boleh menang kerusi itu, tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan MyPPP Perak di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengeru MyPPP Perak, Ong Chee Keong.
Kayveas berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Cina kononnya Ketua Pemuda MyPPP Teluk Intan, Kerk Gwan Chuan adalah calon kerusi DUN Pasir Pedamar untuk PRU-14.
Dalam pada itu, Kayveas memberitahu, sejak awal tahun ini, MyPPP telah mengadakan lebih 800 aktiviti, sekaligus melepasi cabaran 365 program setahun yang dicatatkannya di dalam Malaysia Book of Record.
Menurut beliau, aktiviti yang dianjurkan itu telah dijalankan sejak dua tahun lalu, sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-14.
Katanya, antara program itu ialah My Insurance, My Will, Helping Hands, keselamatan di rumah, kitar semula dan My English.
Mengenai perkembangan politik yang berlaku sekarang, Kayveas berkata, MyPPP sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau menyifatkan Najib sebagai pemimpin terbaik setakat ini yang menjaga rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.