SELAMA - Penyamaran seorang lelaki yang menggunakan bekas gula-gula untuk menyembunyikan dadah terbongkar apabila diserbu polis di Kg Sungai Jambu, Selama pada pagi Khamis lepas.
Dalam kejadian sekitar 10.15 pagi itu, suspek yang berusia 24 tahun diserbu di sebuah sarang penagihan dadah dalam Ops Sarang Bersepadu di sebuah kebun kelapa sawit di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superitendan Loo Lian Lay berkata, suspek turut cuba melarikan diri setelah polis menunjukkan kad pengenalan polis kepadanya.
“Suspek berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan di badannya mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 3.0 gram dalam sebuah bekas gula-gula bertulis ‘mentos”, tujuh uncang peket berisi dadah jenis heroin (110.0 gram).
“Suspek yang juga positif dadah jenis heroin kemudian menandatangani borang bongkar yang diberikan kepadanya,” katanya kepada Suara Perak ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau memberiutahu, suspek dan kesemua rampasan telah di bawa ke Pejabat Narkotik IPD Selama untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek yang berasal dari Kubu Gajah selama mendapati dia memperoleh bekalan heroin daripada Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Loo berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) di bawah akta yang sama.
“Pihak kami akan memerangi habis habisan gejala sosial penyalahgunaan dadah di Daerah Selama dan mengajak orang ramai supaya bekerjasama dan bersama dalam membanteras gejala ini , dan membenci najis dadah ini,” ujarnya.