GERIK - Peserta konvoi diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya dan mengambil alih tugas polis semasa menyertai konvoi.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hasan berkata, terdapat peserta konvoi bertindak melakukan sekatan jalan bagi memberi laluan untuk perjalanan mereka.
Abdul Manab (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Jamalani sebagai simbolik penyerahan kuasa disaksikan Hasnan (tengah)
Menurutnya, tiada salah berkonvoi untuk ke sesuatu tempat namun adalah menjadi kesalahan sekiranya peserta mengambil alih jalan dan bertindak seperti anggota polis.
"Konvoi motosikal atau kereta tidak menjadi kesalahan namun ia salah apabila ada peserta ambil alih tugas polis dengan mengawal lalu lintas.
"Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya tidak sesuka hati mengawal jalan demi kepentingan konvoi mereka, itu adalah satu kesalahan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Hasnan memaklumkan keadaan sempadan Thailand - Perak berada dalam keadaan terkawal meskipun terdapat insidenn pengeboman di selatan negara itu, baru-baru ini.
"Setakat ini, tiada apa-apa insiden yang boleh gugat sempadan di Perak. Keselamatan adalah terpelihara. Pengeboman baru-baru ini tidak merebak sehingga sempadan Perak - Thailand," ujarnya.
Sementara itu, Deputi Superitendan Jamalani Mohd Isa akan memangku jawatan Ketua Polis Daerah Gerik bagi menggantikan Superitendan Abdul Manab Bahrum yang bersara, semalam.
Abdul Manab telah bertugas hampir lima tahun di IPD Gerik dan Jamalani akan memangku tugas tersebut sehingga pelantikan Ketua Polis Daerah yang baru.