KUALA LUMPUR: Beberapa Penerbangan Rayani telah dibatalkan dan tergendala telah menyebabkan penumpang yang sudah membeli tiket mula berang dan menyerbu kaunter syarikat penerbangan berkenaan pagi ini di KLIA 2. Menurut seorang penumpang, Zulhafiq Halim, beliau yang sepatutnya berlepas ke Kota Kinabalu pagi ini menyatakan rasa kecewa dengan kejadian berkenaan di mana dia bersama 11 keluarga dan rakan-rakan terkandas.
"Flight dah delay dua hari, ada yang petang ini dijadualkan akan mengangkat nikah, ada yang perlu menghadiri mesyuarat penting, ada yang mempunyai urusan keluarga." "Apabila ditanya kepada pihak pengurusan mereka tidak mampu menjawab apa-apa, mereka langsung tidak menampakkan diri, kesian front desk officer sebab kena maki hamun dengan penumpang," katanya. Menurutnya, Zulhafiq lagi, penumpang tidak dimaklumkan terlebih awal dengan pembatalan itu dan hanya dimaklumkan apabila tiba di kaunter. "Kami tidak dimaklumkan dengan oleh pihak Rayani Air tentang pembatalan ini lebih awal melalui emel atau SMS, alasan yang diterima apabila sampai di kaunter ialah kapal terbang rosak dan sedang dibaiki," katanya dengan yang jelas kecewa.
Menurut beliau lagi, penumpang telah mengisi borang untuk pemulangan bayaran tiket yang telah dibeli dan katanya pihak Rayani Air memaklumkan bahawa bayaran akan diperolehi minima 30 hari dari hari ini. Berdasarkan rakaman video, penumpang dilihat cuba meminta penjelasan daripada staff di kaunter bertubi-tubi sehingga mereka terpaksa memanggil pihak polis bantuan lapangan terbang untuk menenangkan keadaan.
Menurut penumpang, ada antara mereka telah terkandas dari semalam lagi bagi beberapa penerbangan ke destinasi lain seperti Kota Bharu dan kes ini menjadi makin besar apabila penerbangan hari ini turut dibatalkan dan tiada sebarang kata putus dari syarikat penerbangan berkenaan.
Di Twitter pula, kini viral satu gambar seorang warga emas yang dikatakan terpaksa menunggu penerbangan Rayani Air. Menurut pengguna Twitter @eezaleeza, warga emas itu yang adalah neneknya yang berumur 80 tahun.
(Video)