KATI - Prihatin dengan nasib yang menimpa umat Islam di Palestin, 26 ketua kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh menganjurkan program Satu Kampung Satu Tabung palestin.
Malah, mereka turut menyumbangkan sebahagian daripada elaun bulanan yang mereka terima kepada tabung itu sebagai rasa simpati mereka.
Datuk Zainun Mat Noor bersama-sama ketua kampung DUN Chenderoh menyerahkan sumbangan tabung Palestin
Tabung yang diedarkan sejak lebih seminggu lalu itu turut menerima sumbangan orang kampung, termasuk mereka yang bekerja sebagai penoreh getah dan nelayan.
Ketua Kampung Cheh Hilir, Idris Kulop Mohamed berkata, penduduk kampung turut gembira kerana dapat memberi sumbangan walaupun seringgit dua.
“Kami tidak ada daya upaya untuk pergi ke sana, maka justeru itu kami memberi sedikit sumbangan daripada elaun ketua kampung dan juga mengutip sumbangan daripada anak-anak kariah untuk memberi sedikit sumbangan kepada keluarga di Palestin sana,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan itu kepada wakil Aman Palestin sempena program Klinik Dr Zambry dan Hari Bertemu Pelanggan DUN Chenderoh di Pekan Kati pada Khamis.
Sumbangan diserahkan ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor kepada Pengerusi Aman Palestin Cawangan Negeri Perak, Shaharuzzaman Bistamam.
Idris berharap usaha mereka itu turut dicontohi oleh ketua-ketua kampung di daerah lain supaya dapat meringankan sedikit penderitaan umat Islam di Palestin.
Datuk Zainun Mat Noor mendengar penerangan di kaunter bergerak zakat
Sementara itu, Zainun berkata, di samping rasa simpati, tabung itu juga memberi keinsafan kepada rakyat bahawa perlunya mereka bersama-sama memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara.
“Kita orang-orang kampung, bila hendak menderma seringgit, takkan nak pergi ke pecan, jadi dengan adanya tabung ini, JKKK akan pergi rumah ke rumah, walaupun seringgit, mereka tetap gembira kerana dapat menyumbang kepada tabung ini.
“Ini betul-betul duit orang kampung yang prihatin kepada Palestin yang dicerobohi, yang seksa sekarang ni, sebab itu mereka rasa gembiralah menderma, walaupun seringgit, walaupun dua ringgit ataupun syiling,” ujarnya.
Mengenai program Klinik Dr Zambry dan Hari Bertemu Pelanggan DUN Chenderoh, wakil rakyat itu membayangkan cadangan mengadakannya di sebelah malam untuk memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk kampong, khususnya orang muda.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan itu perlu perbincangan lanjut kerana ia turut melibatkan banyak pihak.