KANGAR: Orang ramai dinasihat mengamalkan rutin pemakanan dan penjagaan kesihatan secara konsisten dengan meminum banyak air putih termasuk minuman berisotonik bagi menggantikan garam mineral yang hilang semasa berpeluh ketika musim panas. Pengarah Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata pengambilan minuman tersebut perlu tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan serta untuk memastikan tubuh tidak mengalami dehidrasi.
"Perkara ini tidak harus dipandang ringan terutama bagi kawasan yang mengalami peningkatan suhu melampau sehingga mencecah 39 darjah celcius, seperti di Chuping di sini. "Kementerian terus memantau keadaan. Setakat ini tiada sebarang kes signifikan berkaitan penyakit akibat cuaca panas seperti serangan strok haba berlaku di Perlis," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Rabu. Selain itu, Dr Zaini berkata orang ramai perlu kerap mandi untuk menyejukkan badan dan sebaiknya berada di dalam kawasan terlindung daripada pancaran matahari iaitu di dalam bangunan atau memakai payung. "Hadkan sebarang aktiviti luar dan elakkan bersenam ketika cuaca panas bagi mengelakkan badan menjadi letih dan kehilangan banyak air serta terus dapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Rela Ahmad menasihati ibu bapa agar mengawasi aktiviti dilakukan anak-anak terutama di musim cuti sekolah ini. "Perhatian lebih serius perlu bagi kanak-kanak, kerana dalam usia mereka mungkin lebih mudah diserang penyakit akibat cuaca terlalu panas serta masih kurang daya tahan penyakit," katanya. Menurut Rela masa yang paling tidak sesuai untuk orang ramai berada di luar ialah antara pukul 11 pagi hingga 3 petang kerana pada tempoh tersebut dikatakan suhu adalah tinggi. Sehubungan itu, beliau menyarankan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan atau sekolah agar menganjurkan aktiviti pada masa yang sesuai atau pada waktu malam.
Katanya, ancaman penyakit termasuk strok akibat bahang terlalu panas bukan sahaja mudah menyerang kanak-kanak, tetapi juga golongan dewasa dan warga emas jika tidak mengamalkan pemakanan sihat serta menitikberatkan soal kesihatan.