Lebih 500 penternak ayam dan 121 penternak khinzir di seluruh Perak diberi tempoh sehingga tahun depan supaya mematuhi garis panduan dan syarat yang ditetapkan dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan sistem penternakan yang lebih moden dan mesra alam.
Bekas Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr. Norlizan Mohd Noor berkata, sekiranya berdegil dan enggan mematuhi arahan itu, mereka akan diminta menutup ladang penternakan dan lesen tidak akan dikeluarkan kepada mereka.
Menurut beliau, perbincangan telahpun diadakan dengan semua penternak terbabit dan mereka bersetuju untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mempastikan sistem penternakan lebih moden dan mesra alam menjelang tahun 2018.
“Kesemua penternak terbabit sedang diberi bimbingan dalam skop yang lebih luas berhubung penternakan ayam dan khinzir yang lebih moden dan mesra alam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr. Norlizan yang kini menjadi Pengarah Jabatan Veterinar Pahang berkata, empat garis panduan yang perlu dipatuhi oleh penternak terbabit ialah pertama, melaksanakan sistem reban dan kandang secara tertutup.
Kedua, memastikan tidak ada pengaliran bahan kumbahan ke parit dan sungai sehingga berlaku pencemaran dan mengitar semula bahan kumbahan untuk pelbagai kegunaan contohnya bio gas.
Ketiga, amalan penternakan yang baik dari segi kebersihan dan pengurusan najis yang betui dan keempat, operasi ternakan mematuhi zon penampan.
Mengenai industri penternakan agro tourism, Dr Norlizan berkata, beliau melihat Perak mempunyai potensi besar dalam industri itu, terutamanya yang membabitkan padang ragut.
Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 85 padang ragut di Perak yang boleh dibangunkan dalam industri penternakan, terutama rusa.
“Industri penternakan rusa di padang ragut boleh dinaik taraf untuk agro tourism dan kita tidak ada masalah, umpamanya di Hulu Perak seperti di Lenggong yang bukan sahaja terkenal dengan tapak warisan dunia iaitu Perak Man tetapi dalam masa yang sama berpotensi besar untuk dimajukan dalam industri penternakan rusa,” ujarnya.
Dr. Norlizan telah berkhidmat di Perak selama 11 bulan bermula 1 April 2015 hingga 1 Mac 2016.
Tempat beliau diambil-alih oleh bekas Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Selangor, Dr. Fauziah Muhayat.