IPOH: Cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini menyebabkan paras air di beberapa empangan utama di Perak menurun, namun belum sampai ke tahap kritikal. Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin memberi jaminan kepada penduduk bahawa bekalan air di negeri itu mencukupi.
Beliau berkata paras semasa yang direkodkan juga masih mencukupi bagi menampung kegunaan domestik, industri dan pertanian untuk tempoh yang agak panjang. Katanya paras air di Empangan Air Kuning, Taiping yang mempunyai tahap kritikal 34 meter telah menurun sebanyak 3.24 meter kepada 39.2 meter setakat Isnin lepas, 14 Mac. "Simpanan aktif empangan ini adalah 1.27 juta meter padu dan mampu membekalkan air selama 35 hari sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Sementara itu, Zainol Fadzi berkata paras air bagi Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta pula hanya menurun sebanyak 0.3 meter kepada 244.7 meter daripada aras normal 245 meter. "Peratus simpanan aktif masih lagi pada tahap 100 peratus dan mampu bertahan selama 63 hari sebelum mencecah paras kritikal iaitu 226 meter," katanya. Tambah Zainol Fadzi setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai masalah ketiadaan air, sebaliknya terdapat peningkatan penggunaan air disebabkan faktor cuaca. Empangan Air Kuning membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Kuning bagi kegunaan penduduk sekitar Taiping, manakala Empangan Sultan Azlan Shah membekalkan air kepada penduduk di daerah Kinta dan Kampar dan kedua-duanya diselia oleh Lembaga Air Perak. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Datuk Ir Abdul Razak Dahlan berkata paras air di Empangan Bukit Merah Kerian juga berada melebihi paras kritikal 6.1 meter. Katanya sehingga Selasa, 15 Mac paras air semasa di empangan itu adalah 8.41 meter. JPS bertanggungjawab mentadbir urus Empangan Bukit Merah yang merupakan punca bekalan air pengairan untuk seluruh Rancangan Pengairan Kerian dan mempunyai kawasan tadahan seluas 480 kilometer persegi.