SERI ISKANDAR: Latihan kebombaan Malaysia yang sebelum ini mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam kursus profesional dan taktikal, terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada petugas luar negara.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penguasa Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Hamdan Wahid berkata, latihan taktikal itu memakan masa dua minggu dan kebiasaannya dijalankan pada suku ketiga setiap tahun oleh tenaga pengajar diperakui oleh National Fire Protection Association (NFPA).
Menurut beliau, peserta akan diberi pendedahan dan latihan kebombaan yang tertumpu kepada empat disiplin iaitu kursus memadam kebakaran minyak dan gas, memadam kebakaran bangunan, mencari dan menyelamat selain kursus menyelamat di air.
Beliau berkata, mereka memilih Malaysia kerana dari segi undang-undang, pengurusan, operasi dan pencegahan kebakaran bangunan dan kompaun kawasan adalah berpusat dan seragam di semua kawasan.
“Sedangkan di negara mereka, masih lagi mengikut prosedur perbandaran dan perihal pengurusan kebombaan sistematik mereka hanya tertumpu di bandar-bandar utama,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S di Dewan Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat (APBPM) Perak diTronoh pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis dan Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Abdul Rahim Yusoff.
Menurut Hamdan, jabatan tersebut sentiasa menjalankan kolaborasi bersama institusi dan agensi luar negara dalam memastikan kehendak latihan taktikal dipenuhi secara mampan.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sentiasa menjalankan saringan khusus bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berkelayakan untuk mengikuti kursus latihan di negara ini.
“Kelebihan Malaysia adalah kita mempunyai fasiliti dan pelatih berkemahiran serta training simulator yang lengkap serta bersedia untuk menerima mana-mana petugas daripada sebanyak 80 negara yang mempunyai persefahaman dengan pihak kita,” ujarnya.
Hamdan memberitahu, antara perkembangan terbaru adalah pihaknya kini mengambil alih sepenuhnya penyiasatan kebakaran atau “Fire Arson/ Investigation” yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Kimia Negara.
Menurutnya, semua pegawai dilatih dalam prosedur penyiasat kebakaran oleh pihak bertauliah berpusat di Florida, Amerika dan mereka adalah ahli kimia serta bertugas sebagai ahli bomba.