IPOH - Polis Perak menahan lapan individu berusia di antara 35 dan 63 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket menjual darjah kebesaran palsu di negeri ini sejak 16 Februari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, melalui Ops Anugerah yang ditubuhkan, semua individu, termasuk dalang utama sindiket itu ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenaya (POCA) 1959.
Menurut beliau, sejak Mac 2013, pihak Polis telah menerima empat laporan mengenai penganugerahan pingat palsu.
Ketua Polis Perak
“Dalang utama sindiket ini juga sudah ditahan dan polis masih mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan ini,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis (PRP) di Mes Pegawai Kanan Polis, Ipoh pada Rabu.
Abdul Rahim berkata, lapan individu yang ditahan itu dipercayai bergiat aktif sejak tahun 2013 dan ditahan di beberapa buah negeri seperti Perak, Kuala Lumpur, Penang dan Johor.
Menurutnya, kesemua yang ditahan kini direman mengikut Seksyen 4(2) POCA 1959 dan sedang menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang untuk tindakan seterusnya.
Beliau memberitahu, Ops Anugerah yang merupakan kerjasama antara polis Perak dan Bukit Aman itu dilaksanakan bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu tindakan tegas diambil ke atas pihak yang menjual anugerah palsu.
Sultan Nazrin pada Selasa bertitah, tindakan tegas wajib diambil ke atas pihak yang terlibat dengan penganugerahanan gelaran darjah tanpa pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri Perak untuk mengekang ia daripada terus berleluasa.
Titah baginda, jika perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan supaya aktiviti itu dapat dibanteras secara berkesan.
"Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga.
“Pihak yang terbukti bersalah, wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-165 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.