IPOH - Kurang daripada tiga minit, sebuah kedai emas di Jalan Sultan Iskandar di sini mengalami kerugian kira-kira RM1 juta selepas disamun lima lelaki pada petang Rabu.
Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, lima lelaki berkenaan memakai helmet visor penuh dikatakan meluru masuk dan merompak sekitar 75 peratus daripada emas di dalam kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian, kedai tersebut masih beroperasi tetapi tiada pelanggan di dalamnya.
"Kelima-lima mereka masuk secara tiba-tiba dan salah seorangnya mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan. Buat masa ini kami masih lagi mengesan samada pistol itu benar atau palsu.
"Mereka juga menjerit kepada pekerja kedai untuk mengangkat cermin yang menyimpan barang-barang kemas tetapi tiada sebarang tembakan dilepaskan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Menurut Sum, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut dan kesemua suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri dengan menggunakan motosikal. Beliau berkata, kedai emas tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pihaknya akan meneliti video rakaman bagi menyiasat dengan lebih lanjut kes rompakan yang pertama kali terjadi di kedai emas berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya masih lagi cuba mengenalpasti identiti kesemua suspek berkenaan dan akan memburu mereka dengan secepat mungkin.
"Kebiasaannya selepas sebarang kes samun, kami akan melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh pintu masuk dan keluar Ipoh untuk tujuan menangkap suspek dengan segera,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa bersenjata api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.