ALOR SETAR: Umurnya baru mencecah empat bulan, namun di usia semuda itu dia terpaksa menanggung penderitaan tujuh jenis penyakit. Kedengaran pelik tapi ia benar-benar terjadi. Demikian penderitaan yang dilalui Dhia Aishah Mohamad Faizal yang dikesan menghidap penyakit kronik membabitkan saraf, buah pinggang, usus, pundi kencing, lahir tanpa lubang dubur selain kecacatan pada kedua-dua belah kaki sejak dilahirkan pada Oktober tahun lepas di Kuala Kangkong, dekat sini. Dhia Aisyah yang kini hanya seberat 2.8 kilogram memerlukan pemerhatian khusus serta jagaan rapi daripada kedua ibu bapa kerana tubuhnya mudah dijangkiti kuman ekoran penyakit yang dihidapi.
Menurut ibunya, Fazuana Hoda, 33, beliau yang dahulunya bekerja sebagai kerani di sebuah kedai perabot terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh masa menguruskan anak sulungnya itu. “Jaga dia macam budak lain juga, tapi perlu lebih rapi kerana barang dia yang terdedah mudah dijangkiti kuman,” kata Fazuana. Menurut Fazuana, anaknya hanya mandi menggunakan air bertapis selain perlu elak daripada terdedah ketika berada di tempat awam. “Dia tak boleh berada dalam keadaan panas… nak pegang pun kena guna sanitizer (pembasmi kuman),” kata Fazuana lagi. Hati ibu mana yang tidak hiba tatkala melihat Dhia Aishah menangis kesakitan dan mahukan belaian serta keselesaan. Bagi bapanya, Mohamad Faizal Ahmad, 37, yang mengambil upah melakukan pendawaian elektrik, seringkali dia terpaksa menangguhkan tugasnya demi membawa Dhia Aisyah untuk rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Kos perbelanjaan perubatan sahaja mencecah RM1,000 sebulan dan beliau berharap ada pihak yang sudi tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mereka sekeluarga. “Harapan kami cuma nak Dhia sihat macam budak-budak lain. Walaupun keadaan dia macam tu, kami nak dia sihat saja. Yang lain itu, tak kisahlah, mungkin sudah anugerah Allah. Kami terima dengan redha,” kata Mohamad Faizal. Dilahirkan tanpa lubang dubur, Dhia Aisyah pernah menjalani pembedahan menebuk perut bagi membolehkan beg untuk buang air besar dipasang.Sehingga kini, mereka mengharapkan keajaiban berlaku kepada satu-satunya anak yang mereka kasihi ini selain berdoa agar Dhia Aisyah sembuh. Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berbuat demikian ke akaun Maybank milik Fazuana Hoda di nombor akaun 552022619707.