Empat wanita antara 30 individu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Kampar pada Rabu.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Moktharuddin Muhamad berkata, dalam operasi bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang itu, salah seorang daripada empat wanita berkenaan turut ditahan bersama seorang bayi lelaki berusia enam bulan.
Menurut beliau, daripada 30 individu yang berusia 17 hingga 65 tahun itu, 26 daripadanya termasuk empat wanita berkenaan didapati positif dadah pelbagai jenis.
“Mereka ini akan kita tahan di bawah Seksyen 61 dan juga Seksyen 83 untuk kita buat siasatan seterusnya.
“Kita tentukan intenvensi yang sesuai bagai mereka ini supaya mudah kita mengatur langkah serta tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja operasi itu selesai di RTC Gopeng pada Rabu.
Menurut Mokhtaruddin, operasi yang melibatkan 26 anggota AADK itu telah membuat serbuan ke atas beberapa buah rumah dan juga “port” di kampung-kampung sekitar daerah itu.
Sementara itu, wanita yang ditahan bersama bayi berusia 6 bulan, Roslinda, 32 berkata, dia telah terjebak dengan dadah jenis Moprhine sejak 2008 kerana perasaan ingin mencuba.
Katanya, sejak dia bersama suaminya mencuba dadah jenis itu, kedua-dua mereka telah menjadi ketagih sehinggakan suaminya ketika ini dipenjarakan akibat kesalahan menyimpan dadah jenis berkenaan pada tahun lalu.
Tambah beliau, sejak suaminya ditahan dia mengunakan duit bantuan yang diberi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM400 untuk menampung ketagihannya itu.
“Jadikan saya sebagai pengajaran, jangan terjebak dengan benda-benda seperti ini, disebabkan benda ini keluarga saya habis, suami pun dah tak ada sebab dipenjarakan.
“Dadah ini juga telah membuatkan adik beradik saya benci kepad saya, orang kampung juga pandang hina. Jadikan ini sebagai contoh,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
Roslinda memberitahu, ketika ini dia menyara empat orang anaknya secara bersendirian yang berusia 6 bulan, lima tahun, 9 tahun dan 14 tahun.