Polis Perak berjaya mematahkan sebanyak 7 kes sindiket Gores dan Menang melibatkan kerugian sejumlah RM 233,000 sehingga bulan Mac 2016.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superitendan Lee Ewe Kiang berkata, sebanyak 14 tangkapan telah juga dilakukan oleh pihaknya.
Katanya, bagi tahun 2015 sebanyak 20 tangkapan berkenaan sindiket penipuan tersebut dilakukan dengan melibatkan kerugian sebanyak RM375,000.
Dalam kes terbaru, Lee berkata, pihaknya telah menahan tiga individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kes penipuan gores dan menang.
"Dalam tangkapan tersebut kami telah menahan tiga warga tempatan dan merampas sebanyak 30 keping kupon Mega Sale Gores dan Menang berserta tiga telefon bimbit.
"Dua lelaki berkenaan, masing-masing mempunyai 6 dan 8 rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala wanita tersebut mempunyai satu rekod lampau," katanya kepada Suara Perak pada Selasa.
Jelasnya, kesemua mereka diberkas di pasaraya Tesco Extra, Bercham pada petang Isnin lepas.
Lee berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan disyaki terlibat dalam satu kes penipuan melibatkan seorang wanita warga emas berumur 71 tahun yang kerugian sejumlah RM102,000 pada Disember lepas.
Menurutnya, polis yakin dengan penangkapan tersebut, telah berjaya mematahkan sekurang-kurangnya dua kes penipuan Gores dan Menang dan Cabutan Bertuah di Perak.