Kastam Perak Rampas Arak, Rokok Lebih RM3 Juta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak merampas 5.73 juta batang rokok putih dan 1,032 liter minuman keras bernilai hampir RM630,000 dengan cukai berjumlah RM3.38 juta yang cuba diseludup ke negara ini.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Awai Mamat berkata, rampasan itu dilakukan setelah menahan dua buah lori secara berasingan di Jalan Lebuh AMJ, Kg Ladang dan Taman Peringgit Jaya, Melaka pada 9 Mac lalu.
Menurut beliau, modus operandi kegiatan penyeludupan itu dengan membawa barang-barang yang diseludup menggunakan lori yang bertutup penuh dan dikawal oleh tonton-tonto sepanjang perjalanan ke lokasi yang dituju.
“Ancaman kepada pegawai juga telah berlaku di mana sebuah kenderaan jabatan telah dilanggar oleh sebuah lori yang ingin diperiksa,” katanya ketika satu sidang media di Wisma Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Ipoh pada Selasa.
Menurut beliau, dalam operasi yang dilakukan oleh pasukan bahagian penguatkuasaan Teluk Intan itu, kastam juga telah menahan dua pemandu lori tersebut yang berusia dalam lingkungan 30an.
Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan barangan seludup itu untuk diedar ke Muar, Melaka dan Shah Alam.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan maksimum denda 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kastam Perak telah memperolehi sebanyak 376 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967. - Suara Perak