KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal bagi membendung kegiatan penipuan penganugerahan darjah kebesaran palsu yang sedang berlaku di negeri ini.
Baginda bertitah, undang-undang wajib dilaksanakan tanpa gentar atau pilih kasih dan hendaklah dilaksanakan tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga.
Titah baginda, pihak yang terbukti bersalah wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal.
“Beta telah menzahirkan ketegasan bahawa undang-undang wajib dilaksanakan tanpa gentar tanpa pilih kasih.
“Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama, tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga, pihak yang terbukti bersalah wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal,” titah baginda di Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke 165 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada Selasa.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Nazrin bertitah, pendirian mendiamkan diri dan tidak membetulkan kesalahan oleh pihak berkuasa boleh ditakrif sebagai merestui dan mengizinkan kesalahan terus dilakukan dan aktiviti penipuan terus berlaku.
Baginda menegaskan bahawa anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat atas nama negeri Perak Darul Ridzuan terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah.
Titah baginda, nama-nama dicalonkan melalui borang pencalonan yang disediakan dengan memberi justifikasi akan rekod jasa dan khidmat bakti calon kepada Raja Pemerintah dan negeri Perak.
Baginda bertitah, nama-nama yang dicalonkan disaring, ditapis dan dinilai oleh Jawatankuasa Dewan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum diangkat sembah untuk mendapat perkenan Paduka Seri Sultan.
Titah baginda, kegiatan penganugerahan gelaran Dato’ Seri dan Dato’ palsu yang dilakukan secara komersial oleh beberapa individu untuk meraih keuntungan, bukan sahaja telah mencemarkan institusi raja, istana dan kerajaan malah mempersendakan darjah kebesaran yang sahih dan status para penerima anugerah darjah yang sahih. - Suara Perak