TANJUNG MALIM: Seramai 300 daripada lebih 9,000 kontraktor telah disenaraihitam oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad( SPNB) sejak tahun 2002 sehingga hari ini, kata Pengerusinya, Datuk Abdul Latiff Ahmad.
Menurut beliau,SPNB terpaksa menyenaraihitamkan kesemua kontraktor tersebut berikutan projek perumahan yang terbengkalai meskipun telah diberikan kelonggaran dan tempoh lanjutan.
Katanya, senarai itu termasuk kontraktor dari Kelas C,D,E dan F bermasalah yang baru sahaja menceburi bidang tersebut ataupun yang lama bagi kesemua projek perumahan di bawah SPNB di sekitar negara ini.
Khusairi menyerahkan Inden Kerja RMR1M kepada penerima kontraktor terpilih.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Mersing berkata pihaknya akan menjalankan proses pemutihan bagi kontraktor yang gagal memenuhi syarat pembinaan rumah termaktub di dalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ( CIDB). "SPNB tetap memberikan peluang kepada kesemua kontraktor untuk memperbaiki mutu kerja demi jaminan masa depan dan pendapatan mereka. "Bagaimanapun, kita tetap akan mengikuti prosedur dan standard piawaian dalam memilih kontraktor baru untuk memastikan kualiti pembinaan projek perumahan SPNB sentiasa terjamin,"katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia ( RMR1M ) di Restoran KY, Slim River pada Selasa.
Abdul Latiff berkata permohonan kontraktor bagi projek perumahan di bawah SPNB adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan tidak hanya terhad kepada kaum Bumiputera sahaja.
"Kita tidak menetapkan kuota khas kepada kaum tertentu asalkan mereka mempunyai lesen kontraktor dan menepati kriteria yang ditetapkan SPNB,"katanya lagi.
Katanya, sebanyak 4,084 daripada 8,647 permohonan RMR1M di negeri Perak telah pun diluluskan dan sebanyak 1,940 masih di dalam senarai menunggu manakala selebihnya sedang dalam proses pembinaan dan dokumen perjanjian. Tambahnya, terdapat 2,623 permohonan bagi pembinaan unit tersebut ditolak berikutan tidak mematuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Turut hadir, ADUN Slim merangkap Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.