Program Tunas Niaga (PROTUNe) yang bertujuan memupuk pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar sekolah menengah ke arah memperkasakan ekonomi bumiputera, wajar diteruskan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2020.
Di sebalik kemungkinan peruntukannya dikurangkan, program untuk pelajar tingkatan satu hingga lima itu juga wajar diperkasakan lagi dengan penambahan peruntukan.
Exco kerajaan negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, penambahan peruntukan itu perlu sejajar dengan hasrat melahirkan sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam satu keluarga seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Perak itu, berdasarkan rekod di Perak, program itu berjaya melahirkan sekurang-kurangnya 50 usahawan berjaya daripada 250 peserta program tersebut.
“Berdasarkan itu, kita nampak keberkesanan program ini dan ia wajar diperkasakan lagi dengan peruntukan yang lebih dan beberapa penambahbaikan lain,” katanya kepada Suara Perak selepas menutup Konvensyen Tunas Niaga Peringkat Nasional 2015 di Casuarina@Meru, Ipoh pada Ahad malam.
Lebih seribu 1,000 pelajar dari 42 buah sekolah menengah seluruh negara mengambil bahagian di dalam konvensyen tiga hari itu yang menyaksikan tuan rumah, Perak muncul juara keseluruhan diikuti Pahang dan Melaka.
Program Tunas Niaga merupakan penjenamaan semula program usahawan muda yang telah dilaksanakan sejak tahun 1989 di bawah Unit Penyelaras Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Bermula pada tahun 2014, program ini mendapat pembiayaan daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan menjalinkan persefahaman dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).