Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bersedia untuk membangunkan lebih banyak Ladang Pahlawan di seluruh negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, ladang tersebut adalah khusus untuk bekas anggota polis dan tentera yang telah bersabung nyawa dan berjuang untuk negara sebelum ini.
Menurut beliau, kewujudan ladang itu juga bertujuan menghargai jasa mereka selain membantu mengurangkan beban kewangan dihadapi bekas-bekas perajurit negara tersebut.
Mohd Fadzil bergambar bersama isteri dan anaknya di rumah baru mereka di Kampung Kuala Kenering.
"Faedah yang dapat dikaut oleh bakal usahawan ladang ini adalah dari segi pengurusan kewangan dan persiapan modal yang tidak begitu sulit kerana umum tahu betapa susahnya untuk mendapatkan pinjaman bank dan sebagainya.
"Mereka hanya perlu membayar modal dalam amaun minimum kerana SADC akan bertanggungjawab mengurus ladang itu dan dividen akan diberikan kepada mereka yang terlibat agar mereka dapat menikmati keuntungan tetap dari hasil tuaian tanaman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek di Bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) di Kampung Kuala Kenering, Lenggong pada Isnin.
Menurut Ahmad Rizal, pihaknya sebelum ini telah mencadangkan pembinaan Ladang Pahlawan dengan mengambil inspirasi daripada lokasi yang telah dilakukan di Kampung Gajah sebelum ini.
Katanya, buat masa ini pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) perlulah bekerjasama dengan bekas perajurit untuk mengemukakan permohonan perkara tersebut kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya sedia membantu dari segi sokongan cadangan perihal tersebut sedaya mampu dalam usaha membantu meringankan beban kewangan bekas pejuang yang kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Sebagai contoh, harga komoditi pasaran kelapa sawit dan getah agak tidak stabil pada masa ini jadi dari sudut SADC, kami akan memastikan pekebun kecil tidak merasakan impaknya sehingga membebankan kehidupan harian mereka.
"Kami akan mengambil risiko itu dan memberikan dividen berdasarkan harga pasaran semasa dan melatih mereka menanam pelbagai jenis tanaman berdasarkan kesesuaian tanah di sekitar kawasan berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, penerima rumah di bawah projek NBOS7, Mohd Fadzil Abd Salim, 38, melahirkan rasa syukur mendapat bantuan rumah itu dan berterima kasih kepada semua pihak terlibat.
Dia yang pernah bertugas sebagai anggota tentera selama 13 tahun berharap lebih ramai bekas tentera akan mendapat bantuan sepertinya.
Menurutnya, kebajikan anggota tentera tidak pernah terabai kerana mereka boleh menyalurkan aduan kepada JHEV pada bila-bila masa.
"Saya gembira kerana dapat menjadi salah seorang penerima rumah dalam projek NBOS7 di Kampung Kuala Kenering, ini membuktikan kebajikan bekas tentera sentiasa diberi perhatian.
"Malah, ayah saya yang juga seorang bekas tentera sering menerima bantuan, setiap tahun, pasti ada bantuan sampai kepadanya," ujarnya.
Isterinya,Mazlina Abdullah, 34 berkata, semua keluarga bekas veteran harus mendaftar segera bagi mendapatkan bantuan kebajikan yang sepatutnya dari komuniti JHEV sendiri.
"Memang kami bersyukur kerana dalam ribuan pemohon, kami antara penerima yang diluluskan, kepada yang lain, kena banyak bersabar dan percaya bahawa rezeki yang diterima adalah ketentuan Allah.
Dia yang berasal dari Labuan dan merupakan bekas guru agama berkata, kini banyak meluangkan masa membantu suaminya dalam perniagaan kedai runcit yang boleh memperoleh sekitar RM1,000 sebulan.