BATU PAHAT – Pereka grafik, Md Aris Husin, 40, dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan setelah mengaku bersalah mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menggunakan jari tengah kanannya.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azuar Che Yusof menjatuhkan hukuman terbabit apabila pereka grafik itu yang diwakili peguam, Mohd Hezri Shahril, melakukan kesalahan berkenaan pada 20 Disember lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Aris melakukan kesalahan berkenaan dengan menunjukkan isyarat lucah itu dengan niat, di Kilometer 95, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), arah Selatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.20 pagi, yang turut disertai rombongan Sultan Johor, tertuduh telah dilihat melakukan perbuatan berkenaan daripada kereta yang dipandunya.
Md Aris (belakang) kanan ketika dibawa keluar setelah hukuman penjara dijatuhkan kepadanya.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dibacakan peguam ketika prosiding berlangsung, tertuduh merafak sembah memohon keampunan daripada Sultan Ibrahim di atas ketelanjurannya.
Tertuduh juga merayu untuk diringankan hukuman kerana mempunyai tanggungnya dan dia seluruh ahli keluarganya mengharap pendapatan daripadanya.
"Saya memohon ampun dan maaf kerana perbuatan saya melukakan hati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat Johor secara keseluruhannya.
“Saya juga benar-benar insaf di atas ketelanjuran ini dan dengan rendah hati memohon ampun kepada Tuanku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," katanya.