Perak bakal menjadi negeri pertama negara yang akan melaksanakan kelas KAFA peringkat sekolah menengah berikutan perlaksanaan projek perintis di masjid Daerah Manjung awal bulan depan.
Menurut Pengarah JAIP, Dato’ Mohd Yusof Husin (gambar), projek perintis KAFA peringkat sekolah menengah itu merupakan kesinambungan kepada pengajian kelas KAFA yang dilaksanakan di sekolah rendah pada ketika ini.
Katanya KAFA peringkat menengah diwujudkan bertujuan mengukuhkan lagi pengetahuan agama Islam di kalangan pelajar sekolah menengah.
“KAFA sekolah menengah ini akan dilaksanakan di masjid Daerah Manjung bermula bulan April. Kita belum dapat jangka sambutan orang ramai kerana proses pendaftaran sedang dijalankan.
Kelas KAFA peringkat menengah ini diwujudkan kerana kita mahu pastikan pengetahuan ilmu agama kalangan anak-anak tidak terhenti setakat sekolah rendah.
Inisiatif ini akan kita kembangkan ke seluruh masjid di negeri ini tidak lama lagi. Dengan perlaksanaan ini, Perak merupakan negeri pertama ada menyediakan kelas KAFA peringkat menengah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Mohd Yusof berkata PIBG sekolah-sekolah menengah di setiap daerah akan bekerjasama dengan jawatankuasa kariah masjid dan Jabatan Agama Daerah untuk memastikan projek KAFA ini dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau berkata langkah mewujudkan kelas KAFA peringkat menengah itu adalah hasil pencambahan idea bagi menanggani gejala sosial membabitkan golongan remaja yang semakin berleluasa.
Ini kerana kelemahan didikan agama dan moral diri remaja merupakan punca berlakunya gejala sosial dan lebih serius lagi apabila ia melibatkan golongan pelajar, katanya.
“Kita berpandangan dengan adanya kelas KAFA ini akan dapat memainkan peranan dalam membantu mengurangkan gejala sosial.
“Contohnya, bagi pelajar menengah sesi petang maka dia akan mengikuti pendidikan KAFA di sebelah pagi manakala yang bersekolah pagi akan hadir ke kelas pada sebelah petang.
Penekanan kelas KAFA menengah ini adalah tentang fardhu ain, akhlak dan tauhid. Kelas akan berjalan sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama dua jam dan kita harapkan kerjasama ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas KAFA ini,” katanya.
Katanya lagi silibus sukatan pelajarannya bagi kelas KAFA ini telahpun siap manakala guru-guru KAFA juga telah dilantik bagi tujuan ini.
Menurut beliau, selain itu pihak JAIP setakat ini telahpun melaksanakan satu lagi kelas iaitu kelas KAFA Tulin tiga minggu sekali untuk pelajar sekolah di kawasan yang tidak terdapat sekolah agama rakyat.
“Walaupun setakat ini terdapat lebih 600 sekolah agama rakyat di Perak namun ia masih tidak cukup berbanding keperluan mewujudkan satu sekolah agama rakyat bagi setiap penempatan orang Islam di Perak.
“Di bawah KAFA Tulin, JAIP bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri Perak dan setakat ini hampir 10 sekolah telah ada KAFA Tulin,’’ kata Mohd Yusof.