top of page
muinsapidin

Kegiatan Jenayah Di Hilir Perak Perlu Perhatian Serius

Kegiatan jenayah termasuk penyeludupan dan pemerdangan manusia di Hilir Perak perlu diberi perhatian serius.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedudukan daerah tersebut yang bersempadan dengan negara Indonesia, dipercayai menjadikannya transit bagi kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak antara SAC Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan Wan Hassan di IPD Hilir Perak pada Isnin.

Justeru itu, beliau berharap Ketua Polis Daerah Hilir Perak baharu, ACP Wan Hassan Wan Ahmad dapat memberi perhatian terhadap isu terbabit.

“Jawatan ketua polis daerah sangat penting kerana ia akan menentukan hala tuju Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ke tahap yang cemerlang.

“Saya yakin Wan Hassan dapat membawa banyak kejayaan untuk kesejahteraan masyarakat di Hilir Perak,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak antara SAC Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan Wan Hassan di IPD Hilir Perak pada Isnin.

Mohd Shuhaily yang telah berkhidmat selama setahun tujuh bulan di IPD Hilir Perak dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, manakala Wan Hassan sebelum ini adalah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Pelantikan Wan Hassan sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, Wan Hassan dalam ucapannya berjanji untuk mengekalkan legasi kepimpinan Mohd Shuhaily selain memastikan kadar indeks jenayah dapat terus dikurangkan.

“Saya memerlukan kerjasama daripada semua anggota serta pegawai dan akan meneruskan segala perancangan termasuk perancangan operasi yang dilaksanakan Mohd Shuhaily sebelum ini bagi memantapkan IPD Hilir Perak,” ujarnya.


86 views0 comments
bottom of page